20081222

Indahnya Pertemuan

Salamullah alaikum...

Terasa lamanya tidak menghunus pena di sini. Kekangan masa membataskan diri untuk terus meng'update' laman ini. Bukan tugas yang jadi penghalang sementelah diri ini masih diulit empuknya cuti sem yang panjang. Namun, ketermalasan yang menyelubungi menjadi jawapannya.

Memegang tittle sebagai mantan pelajar di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya membuatkan diri ini sering merindukan suasana di sana. Biarpun hanya seketika berada di situ, namun terlalu banyak yang dipelajari. Terlalu indah detik-detik yang dilalui. Membuat diri ini berasa sangat kerdil sebagai hamba Al-Khaliq. Mengajar diri ini erti ukhwah yang sebenar. Kenangan-kenangan manis yang tercatat akan sentiasa diabadikan dalam sanubari ini. Buat teman-teman di sana, ketahuilah bahawa diri ini sangat merindui kalian.

IIUM Bloggers

Sekian lama menghadap laptop, terdetik di hati untuk mencari teman-teman di IIUM melalui alam maya ini. Dek terlalu asyik mencari kelibat-kelibat mereka, saya tertarik pada satu laman yang menghimpunkan hampir kesemua penulis blog bagi pelajar di IIUM. Sangat menarik! Terlintas di hati dan minda seandainya saya mampu melakukan perkara yang sama di IPTAA. Pasti indah kiranya IPTAA dapat dihujani dengan kemajuan teknologi yang berlambaka-lambak pada masa kini. Namun, tatkala difikirkan kembali, banyak faktor yang perlu diambil kira memandangkan kemudahan internet di sana masih tersangkut-sangkut. Para pelajar juga terpaksa mengambil inisiatif menggunakan broadband demi mendapatkan kemudahan internet. Internet merupakan sumber terpenting bagi kami bakal-bakal guru ini bagi memperoleh maklumat. Mendengar perkhabaran daripada teman-teman mengenani bayaran menggunakannya amatlah tinggi, saya meletakkan impian untuk memperolehnya sejauh mungkin.

Rindunya!

Mengenang kembali detik-detik indah di IIUM, pernah terbit di hati kerdil ini penyesalan kerana mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di IPTAA. Namun, yang tersirat telah tersurat. Sebaik-baik perancangan adalah perancangan ALLAH Yang Maha Satu. Kita sebagai hambanya sekadar menuruti. Apa perlu disesalkan lagi? Hidup ini perlu diteruskan. Seusai tamat satu sem di IPTAA, saya menanam azam yang sangat kuat untuk terus mengabdikan diri dalam bidang perguruan ini. Sesungguhnya, semulia-mulia pekerjaan adalah pendidik. Menjadi 'arkitek bangsa' bukanlah semudah disangka kerana masih banyak onak dan duri yang perlu ditempuh. Masih banyak lurah dan lembah yang perlu dituruni.

Wallahua'lam...

No comments: