20091017

Mengetuk Pintu Hati, Menyingkap Nur Ilahi


Menelusuri ´jalan´ bagi menemui Maha Pencipta memerlukan penyucian jiwa yang kompleks. Allah s.w.t. banyak membuat perumpamaan berkaitan dunia - keindahannya, kesempurnaannya, perubahannya dan kemusnahannya. Seluruh alam begitu fasih mengucapkan syahadat, kesaksian akan keesaan-Nya sehingga menjadi begitu nyata. Burung-burung rahib di dahan pertapaannya menyanjung kemuliaan-Nya sehingga semua yang mendengar akan merasa riang dengan penuh khusyuk.

Cahaya ciptaan-Nya hadir meliputi timur dan barat dan Dia mampu melenyapkan ciptaan-Nya itu dengan hadirnya kegelapan. Allah s.w.t. juga dapat menghidupkan kembali hati yang mati dan gersang dengan zikir-Nya. Malah sesiapa sahaja saja yang mendapatkan hembusan nafas rahmat-Nya akan berbahagia dengan kebahagiaan tertinggi dan tidak sengsara selamanya. Bumi tempat manusia berpijak, hanyalah setitis dari samudera ciptaan Allah Azzawajjala.

Jika burung di awan tidak terjatuh, maka makhluk yang hidup di bumi tidak akan tergelincir. Padahal bumi berputar bersamanya dengan kelajuan 1000 km sejam dan berputar mengitari matahari selaju 65,000 km sejam. Bumi dimudahkan Allah s.w.t. untuk dihuni manusia dengan menciptakannya bulat. Tetapi ke mana jua kaki melangkah, manusia akan mendapati bumi terhampar. Begitu juga jika malam yang berlanjutan terus tanpa siang di mana kehidupan akan membeku kedinginan seperti hati yang beku dari mengingati-Nya dan sebaliknya.

Malah tidak terjejas sedikit pun terhadap Allah s.w.t. jika hamba-Nya tidak bersujud akan keesaan-Nya. Allah s.w.t. sedikit pun tidak mempunyai kepentingan. Jadi, berwaspadalah akan kehadiran-Nya kerana seseorang yang tidak menemui-Nya, maka itu bererti mata hatinya buta sehingga tidak menyedari akan kewujudan-Nya. Allah Azzawajjalla berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika mereka berpaling, katakanlah,”cukuplah bagiku Allah yang tiada Tuhan selain Dia. KepadaNya aku bertawakal dan Dia Tuhan ´Arsy yang Maha Agung.” (Surah at-Taubah: 129)

Banyak perkara yang perlu dikonkritkan di dalam jiwa kerana masih banyak rahsia yang terselindung di sebalik kejadian-kejadian-Nya. Kebaikan atau kemungkaran bukan sesuatu yang terbatas dimuka bumi atau di suatu lokasi tertentu. Mukmin yang menunaikan kewajipan, berlaku baik dan mencegah perbuatan keji kerana ia beriman dengan Allah s.w.t., tetapi yang batil tidak akan hidup subur, yang mungkar tidak akan tumbuh berakar. Hati yang fakir dari mengingati-Nya akan membuatkan manusia tidak pernah merasa cukup, bahkan ia akan mendatangkan pergolakan di dalam jiwa. Abu Sulaiman pernah berkata, Tafakur di dunia adalah hijab dari akhirat yang mewariskan hikmah (kebijaksanaan) yang menghidupkan hati.”

Manusia juga tidak insaf dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah sebagai satu pelayaran singkat atau sebagai menyeberangi suatu jalan raya yang tidak sunyi daripada rintangan dan halangan. Jika mereka sedar bahawa mereka berada di atas bahtera di tengah lautan, tentu mereka tidak membuat perkara yang mungkar yang akan mengganggu penghuninya atau melubangi bahtera tersebut yang membahayakan dan menenggelamkan dirinya dan orang lain.

Allah s.w.t. yang telah mengurniakan jiwa kepada manusia supaya merencahkannya kepada perkara-perkara yang bersifat sufistik agar dapat mengenal dan mengetahui betapa pentingnya jiwa dalam kehidupan seharian.

Rasulullah s.a.w. sering menerapkan di dalam jiwanya dengan ketakwaan dan sifat takutnya kepada Allah s.w.t. Walaupun baginda tidak dapat melihat Allah s.w.t., tetapi Allah s.w.t. sentiasa memerhatikannya bersama sinar ketakwaan
dan ´kalamullah´.

Hamba-Nya yang mengamalkan ketaatan kepada Allah s.w.t. perlulah mengetahui bahawa pangkal ketaatan adalah pengetahuan (al-´ilm) kepada Allah, ketakutan kepada-Nya, harapan, dan pengawasan batin terhadap Allah Azzawajjala. Tampakkanlah dua jenis keimanan iaitu zahir dan yang tersembunyi batin agar penyusunan jiwa lebih teratur dalam mengharungi kehidupan ini.

Hakikatnya manusia perlu mengenal Allah s.w.t. dan mengimani keberadaan-Nya sebagai Pencipta, Yang Mengetahui dan Maha Kuasa, yang tidak terliput oleh pengetahuan yang tidak dapat terbayang dek fikiran, dan mempunyai zat yang tidak terbatas. Oleh itu hadirkanlah rupa peribadi kita di dalam jiwa dan singkapkanlah hati agar menemui-Nya dalam situasi keredaan-Nya kerana masih ada sinar matahari yang tidak terjangkau oleh manusia. Masih banyak yang menyangkut tentangnya yang tidak diketahui. Cahayanya pun tidak mampu kita renungi berterusan. Jika matahari saja demikian , bagaimana pula kita dapat melihat Pencipta matahari yang Maha Agung itu.

1 comment:

nuRRul syafi_iZZan said...

berfikir tu mnambahkan muqarabtullah..akal gnenya berfikir..

berfikir??
bukan skadar memecutkan neuron lantas sgala ganglion bekerja..namun lbh dari itu

ia pnerimaan trus ke qalbie..
mengimpak pd resolusi diri

insyaAllah