20091210

Sum'ah: Waspadalah...


Pertama kali mendengar perkataan sum'ah tatkala saya membelek majalah Anis di rumah ibu saudara di Putrajaya. Seperti biasa, rutin saya pastinya mencari bahan bacaan buat tambahan ilmu yang ada. Tatkala itulah saya diperkenalkan dengan perkataan itu.

Kita mungkin biasa mendengar riak dan ujub. Dan sudah tentunya dua perkataan ini jugalah yang sering digunakan kita. Tapi tidak bagi sum'ah. Saat saya mengenalinya, terdetik di hati saya...

Mungkin juga saya tergolong di situ... Ya Allah, ampunkan diri ini andai di situ letaknya diriku...

KONOTASI SUM’AH

Dalam beribadat, selain dilarang bersifat riak (menunjuk-nunjuk) dan ujub (kagum dengan diri sendiri), kita juga ditegah daripada besikap sum’ah.

Walaupun jarang orang bercakap mengenainya, realitinya penyakit jiwa ini telah menimpa ramai orang termasuk dari kalangan ahli ibadat yang jahil dan ghurur. Lalu apakah maksud sum’ah itu?

Sum’ah adalah perbuatan seseorang yang menceritakan amalan-amalannya agar didengar oleh orang lain lalu mereka memuji dirinya.

Lantaran itu, jelas menunjukkan dalam dunia moden hari ini, orang yang besifat sum’ah ini boleh dikatakan gila puji ataupun gila glamour. Pujian dari manusia itu ibarat nyawa bagi mereka. Andai tidak dipuji, barangkali bisa merasakan dirinya tertekan dan tidak boleh meneruskan hidup lagi.

Misalannya, seseorang membaca al-quran, lalu memperindah suara dan lagunya tatkala mengetahui ada orang yang mendengar dan memerhatikannya.

Sum’ah adalah sikap sengaja menceritakan kepada khalayak tentang amal ibadahnya bahawa dia beramal dengan ikhlas kerana ALLAH agar orang lain memberikan pujian dan sanjungan yang tinggi kepadanya.

ANCAMAN ALLAH S.W.T

Apakah ancaman Allah kepada orang bersifat sum’ah di dalam amalan-amalannya?

Seperti yang terkandung di dalam Hadis Jundub r.a, beliau berkata: Telah bersabda Nabi SAW: ” sesiapa melakukan perbuatan sum’ah, nescaya Allah akan memperdengarkan aibnya dan sesiapa melakukan perbuatan riak, nescaya Allah akan memperlihatkan aibnya.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Astaghfirullahalzim. Jelaslah di situ betapa beratnya hukuman mereka yang bersifat sum'ah. Lantas, waspadalah sahabat sekalian agar diri kita terpelihara dari rasa riak, ujub dan sum'ah. Moga setiap amalan kita diiringi sifat ikhlas demi Al-Khaliq, ALLAH Yang Tiada Tandingnya...

p/s: Ya Ilahi Rabbi, moga diriku terpilih untuk merasai nikmat ikhlas itu. Amiiin...

No comments: